~bandar puisi~
Ditulis pada 15/07/2017
Bandar ini, dikenali sebagai bandar puisi, kerna masyarakatnya, ramai menjadi peminat puisi, pencinta sastera, pemenang sastera novel dan cerpen.
Alkisahnya bermula seperti ini:
Wujudnya lelaki, yang bernama Isyan.
*
Namaku Muhammad Isyan bin Ismail, aku dipanggil oleh masyarakatku sebagai Isyan. Aku membesar di keluarga yang sederhana. Bersekolah di sekolah yang sederhana nasibnya, dalam perlumbaan keputusan peperiksaan SPM. Minatku adalah jalan-jalan bersendirian di tepi pantai, di malam hari, sambil berteman melodi muzik, memerhati keindahan sang rembulan, tak pun mengisi masa lapangku dengan aktiviti mengkhayal.
Sejak kecilku lagi, aku seorang yang melawan, melawan dalam diamku. Kerna, aku tidak suka buat, apa yang manusia lain buat. Juga, aku tak suka ikut apa yang majoriti pegang, terutamanya bila aku disuruh belajar agar bisa berjaya. Aku asyik tertanya-tanya, kenapa nak berjaya? Kalau aku belajar sesuatu yang aku minat, boleh tak? Dan, sekiranya yang aku minat itu tidak mendatangkan keuntungan, adakah ia dikira sebagai tidak berjaya?
Aku juga suka berkhayal, melihat dunia. Aku suka berteman dengan alam, melihat nyanyian kelip, menghayati senyuman rembulan, mendengar melodi rerama. Aku asyik terbang di atas sana, menyentuh bebintang, duduk di atas kawah bulan, berjalan di pinggir bima sakti. Itulah aku lakukan sebelum aku masuk ke alam remaja.
Masukku ke alam remaja, bertambahlah soalanku, mempersoal dunia hidupku; selalu mempersoalkan itu dan ini. Aku masih berteman alam, tapi sambil memikirkan mengenai erti sebuah realiti akan sebuah kehidupan. Aku asyik mempersoalkan soalan yang tidak ada manusia sekelilingku berminat mempersoalkan ia, seperti:
Kenapa spesies manusia perlu terlalu bekerja? Kenapa perlu mengumpul harta? Kenapa perlu berlumba-lumba membeli material? Kenapa harta menggembirakan? Kenapa perlu terlalu menunjuk-tunjukkan di dunia maya akan kegembiraan? Kenapa manusia perlu terlalu berusaha untuk mengubah kelas ekonomi daripada proletariat ke bourgeoise? Kenapa berbakti dalam masyarakat itu bermaksud membantu masyarakat agar dapat merasai kehidupan bourgeoise? Dan, banyak lagi soalan, yang minda aku persoalkan.
Sejak itulah, aku mencari jawapan. Cari dan cari, walaupun pencarianku itu dihina, dikritik, dipersoalkan, dibodohkan, digelakkan. Tapi, aku tetap mencari, dan terus mencari. Malangnya, setelah beberapa tahun berlalu, jawapan untuk semua soalan itu tidak juga aku jumpa. Hanyalah jawapan yang bersifat relatif sahaja yang aku temui.
Bila aku sudah mula berputus asa, mencari jawapan, untuk semua soalanku itu, aku jumpa sesuatu, atau aku minat sesuatu, iaitu puisi, sastera, penulisan.
Aku asyik berfikir, aku rasa puisi boleh digunakan, agar spesies homo sapien ini tidak lagi terlalu memikirkan kapitalisme setiap hari, setiap waktu. Kerna, puisi boleh memalaskan manusia untuk mencari, untuk terlalu mencari, untuk berlumba mengumpul material.
Aku pun sebarkan puisi di masyarakatku. Puisi cinta, puisi sufi, puisi anarki, puisi revolusi, puisi psikologi. Dan, ramai sekali, yang meminati puisi cinta. Aku tidak tahu kenapa, tapi mungkin kerna, ramai hati manusia kesepian, kerna itu mereka mencari cinta, agar bisa menjadi peneman hidup, menghilangkan rasa sunyi di hati.
Beberapa tahun berlalu, puisi makin diminati masyarakatku. Malah, ramai sudah yang menjadi penulis puisi yang hebat, juga ada beberapa manusia yang menjadi penulis cerpen dan novel yang hebat. Mereka menjadi idola kepada golongan anak muda. Di saat itulah, bandar ini dikenali sebagai Bandar Puisi.
Maka, mulalah manusia menjadi pemalas, pemalas dalam definisi kapitalisme, kerna ramai manusia yang sudah malas nak bekerja, kerna ramai menjadi pencinta puisi. Mereka menjadi pemalas:- kerna mereka berteman alam, berteman rembulan, berteman ombak, sambil menulis puisi melayani erti sebuah perasaan.
Ekonomi masyarakatku mula hancur, kerna ramai sangat pemalas kapitalisme. Tapi, tiada manusia yang mati kebuluran, kerna manusia tetap bekerja, cumanya kerja mereka hanya sekadar makan, bukan lagi terlalu fikir akan soal material. Kerna, minda mereka disibukkan dengan perasaan untuk mencari ilham puisi, bukan lagi disibukkan dengan kapitalisme untuk mencari ilham material.
Manusia tidak lagi berlumba-lumba mengumpul harta, kerna bagi mereka, semua itu tidak ada nilainya lagi di hati mereka. Mereka hanya berlumba-lumba menghasilkan puisi yang indah, yang dapat menyentuh hati si pembaca bila membacanya.
Tapi, manusia di bandarku ini dihina, dikritik oleh manusia di bandar lain kerna pemalas, pemalas kerna tidak memajukan ekonomi dalam sistem kapitalisme. Maka, mulalah bandar ini dipulau. Dan, dimusnahkan enthusiasm masyarakatnya, terhadap nilai sastera terutamanya sastera puisi.
Mulalah hilang keindahan erti puisi dari mata hati manusia di bandar puisi ini. Malah, ramai manusia di bandar ini mula berbicara ilmiah, dengan mengatakan puisi hanya memundurkan manusia. Definisi mundur melalui pemikiran kapitalisme.
Juga datanglah pemimpin-pemimpin hebat, ahli-ahli agama, ahli-ahli ilmu dan pelbagai ahli dalam bidang akademik ke bandarku ini, semata-mata untuk mengubah masyarakatku, agar bangun mencipta nama dalam sistem kapitalisme. Memajukan masyarakat kata mereka.
Maka, manusia di bandarku mula berubah, kerna ramai ahli ilmiah menyebarkan sperma pemikiran mereka, yang ingin memajukan manusia, dalam erti ekonomi ikutan majoriti manusia. Puisi mula diabaikan, ditinggalkan, dibuang.
Akhirnya...
Semuanya hanyalah tinggal kenangan sahaja, yang dikatakan sebagai kenangan bodoh, sampah, sial. Kenangan yang tidak mahu diceritakan kepada anak cucu; kepada generasi masa depan, kerna ia memalukan, dan ia kisah bodoh masyarakat.
Beberapa tahun kemudian, ekonomi bandar ini menjadi maju. Manusia kembali mengejar material, dan mengabaikan melayan perasaan untuk hasilkan puisi, malah puisi semakin dihina, dibodohkan.
Sentiasa berdasarkan pemerhatianku, ‘sibuk di zahir dikatakan rajin, tapi sibuk di akal dan hati dikatakan pemalas, kerna sibuk di akal dan sibuk di hati, langsung tidak mendatangkan keuntungan material, dan tidak bisa memajukan ekonomi dunia. Apatah lagi, ia puisi sastera, yang langsung tidak dapat menghasilkan erti material yang indah, yang bisa menambah nilai material ke hati manusia.’
...
Begitulah kisahnya. Akhirnya lelaki itu dibunuh, kerna dialah penyebab utama bandarnya menjadi mundur, kerna memperkenalkan puisi kepada masyarakat, yang telah menyebabkan mereka menjadi pemalas, yang tidak mahu mengejar keindahan material. Sehingga sekarang, tiada sesiapa yang tahu siapa yang membunuh lelaki itu.
Tapi, ramai yang katakan, bahawa lelaki itu membunuh diri, kerna setelah dia menyebarkan erti sebuah makna puisi, dia mula membenci akan dirinya, kerna dia juga anggap, bahawa masyarakatnya mula mundur dalam erti kapitalisme, semuanya kerna salahnya; salahnya kerna menyebarkan erti puisi.
Ulasan
Catat Ulasan