~lautan ilusi~

katanya:

Cinta bagai sebuah lautan luas
Yang tersangat dalam dasarnya.
Minda tahu, sangat-sangat tahu
Andai ingin menyentuh dasarnya
Maka diri akan terlemas hayut
Sebelum sempat sampai penghujungnya.
Walaupun minda tahu itu
Tapi hati tetap ingin terjun
Berharap bisa menyentuh
Berlian yang ada di dasar lautan itu.

Maka, zahir pun terjun, berenang ia
Langgarnya kelogikan akal
Kerna pilihnya kata indah hati.
Berenang dan berenang zahir
Bernyanyi ditemani melodi enthusiasm
Tanpa ada lagi gangguan
Daripada sebab dan akibat akal.

Malangnya, semakin dalam zahir berenang
Mulalah terasa lemas jiwa di dalamnya
Mula terasa seksanya hati
Bermain perasaan dan penghujahan.
Walaupun begitu, zahir tetap berenang
Ke bawah, lagi dan lagi.

Sampai satu ketika, tibanya waktu,
Zahir dah mula terasa lelahnya
Hati juga dah mula berdiam harapan
Setelah jiwa dah lama menghayati;
Betapa lemasnya dalam sebuah lautan
Hasil kebodohan zahir, disuruh hati
Agar berusaha sampai ke dasar lautan,
Mencari berlian permata yang indah
Yang bisa mengubah erti sebuah kehidupan.

Di kala itu, zahir dah tidak berenang
Ingin sampai ke dasar lautan lagi.
Zahir kekal di kedalaman itu
Untuk beberapa lama...
Kerna, perasaan ketika itu serabut;
Sama ada perlu usaha lagi
Atau berhenti:- terima kenyataan.
Betapa seksanya hati
Terpaksa membuat sebuah pilihan kekal.

...
Beberapa waktu telah berlalu
Zahir masih berada di situ
Kerna hati masih keliru
Membuat sebuah pilihan.
Bertambah lemaslah lagi jiwa
Kerna gaduhnya hati dan minda
Masing-masing ingin menunjukkan
Ego yang telah lama disusun
Dibiarkan terlepas dalam penghujahan
Sebuah cinta melalui definisi sendiri;

'Sama ada perlu terus berenang ke dasar laut
Atau berenang kembali ke permukaan
Dan melupakan segala kata cinta
Oleh harapan sebuah hati
Hatinya sendiri.'

Lama-kelamaan, segala-galanya,
Tentang dirinya, berhenti berfungsi.
Akalnya, hatinya, zahirnya, jiwanya
Berhenti berbicara...
Dan, akhirnya dia 'mati' di situ
Di kedalaman itu...
Bersendirian, kesunyian, kesepian.

Hanyalah...
Air lautan yang menolaknya ke atas
Tanpa zahirnya berbuat apa-apa lagi,
Ditolak air lautan badannya itu
Ke permukaan lautan itu.
Sampailah badannya ke permukaan
Tapi, hatinya dah 'tiada'
Dia abaikan hatinya di situ
Di kedalaman lautan
Yang terakhir zahirnya berada.

Katanya kepada cinta, kepada dirinya sendiri
Ketika dia hendak tinggalkan hatinya di situ
'Hatiku ini hanya untukmu
Maka aku tinggalkan ia di sini
Walaupun aku tahu, selama-lamanya
Kau tak sedar akan kewujudannya
Di lautan itu, di lautan delusiku ini...
Tapi, aku terima, kenyataanku itu.'

...
'Aku berjanji, kepada diriku sendiri
Kau adalah wanita terakhir
Yang aku cintai...
Selama-lamanya, aku hanya
Akan mencintai dirimu sahaja.'
Sehingga akhir hayatnya
Dia asyik berkata seperti itu.

Sehingga akhir hayatnya
Dia hidup berseorangan
Merasa keindahan sebuah kesepian
Merasa pilu sebuah kesunyian
Sambil ditemani melodi kesedihan.
Tapi, dia senyum, dia tetap senyum
Kerna dia bangga akan dirinya, akan hatinya
Kerna, benar-benar, sehingga akhirnya
Sebelum dia menutup matanya
Buat kali yang terakhir di dunia ini
Hatinya masih mencintai wanita itu...

'Aku masih mencintai mu.'
Tulisannya, sehari sebelum matanya tertutup
Meninggalkan dunia ini.

Siapa kata
Tiada manusia di dunia ini
Yang pilih setia kepada
Unrequited love-nya?
Lelaki itu, salah seorang darinya.

Dia bodoh, kan...
Sangat-sangat bodoh?

Ulasan

Catatan Popular