Hidupnya, si pencari

Lihat dia itu
Si pencari kewujudan;
Di saat ahli masyarakat
Sibuk perihal politik,
Dia pula sibuk
Perihal misterius alam.

Coba dikau lihat dia itu
Di kala ahli intelek
Sibuk berbicara ekonomi semasa,
Dia pula hanya sibuk
Berbicara orbit abjad
Mencari hakikat alam.

Coba perhatikan si dia itu
Si pencari rohani;
Di kala ramai penglipur lara
Berbicara keindahan materi,
Dia pula hancurkan jiwanya
Mahu mencari definisi Cinta.

Itu dia, si pencari fantasia;
Di kala ramai disibukkan
Perihal cinta romantika,
Dia pula mahu mengkaji alam
Dari perspektif metafizik dan fizik
Hingga dia lupa untuk hidup.

Itu si dia, sampah masyarakat;
Di kala ramai mahu jadi bourgeoisie
Dia pula sempurna kebodohan
Tidak kisah dirinya proletariat
Hanya tahu mengumpul maklumat
Perihal pelbagai alam.

Lihat kebodohan dia itu;
Ramai insan berbicara geopolitik
Mahu mengerti dunia moden,
Tapi dia hanya sibuk di fantasi
Mencari erti dalam buku-buku mistik
Yang dikarang oleh sage terdahulu.

Lihat dia itu, si tidak kisah
Perihal perkara popular;
Ramai insan berdebat
Tunjukkan ilmunya, logikanya,
Dia pula hanya diam dan diam
Hanya jiwa menari mencari sirna.

Ulasan

Catatan Popular