Pokok Depresi

Pokok depresi mula tumbuh
Akarnya menembusi kalbu
Mengakar hingga ke roh
Pohonnya membesar tinggi
Menyentuh bumbung langit
Hingga sampai ke alam fikiran.
Rekahan batangnya berseni suram
Terpahat lirik-lirik kelam
Yang diukirkan oleh pecandu.
Daun-daunnya berwarna gelap
Mengabaikan cahaya mentari
Memuja kesendirian rembulan.
Ketika pokok depresi membuah
Ia kesyahduan seni, karya sayu
Lambaian sunyi, tawa sepi
Ia reput dalam senyuman.
Pokok itu patut ditebang
Tapi duka sentiasa menyiraminya
Baja derita juga dihamburkan
Kekosongan menjaganya erat
Malah yang empunya pokok
Dah mula mencintainya.
Tapi, di sebalik rekahannya
Keluar suara pilu roh
Minta untuk dibebaskan,
Diselamatkan.
Sungguh kecundang,
Pencinta mahu selamatkan ia
Tapi, pencinta itu juga kalah,
Ada yang pilih berputus asa,
Ada yang pilih memberi cinta
Hanya sekadar mainan semesta,
Dan ada yang ... mati.

Ulasan

Catatan Popular