Sebuah Kehidupan

Hidup ini, adalah sebuah kekosongan
dan manusia berbuat bermacam-macam
semata-mata untuk lari dari itu,
mereka mencari hiburan, sosial, ekonomi,
politik, agama, drama, filem, lagu, seni 
dan pelbagai lagi... semuanya itu
adalah cara manusia moden
untuk lari dari dibunuh oleh kekosongan.
tiada yang berani meninggalkan jiwanya
bersendirian diseksa oleh kekosongan;
tiada yang diam tanpa berbuat apa-apa
ketika kalbunya mula didakap oleh itu.

[Dan ketika durasi waktu itu
  mula berubah menjadi pisau
  maka ia menyiat sebuah jiwa 
  yang telah lama lemas
  di lautan kesendirian, sunyi.
  dan ketika pula darah 
  berubah menjadi kegelapan
  maka ia mula disembunyikan pula
  di sebalik tawa dan senyum, riang.
  kalbu yang seperti itu pada mulanya
  lari jauh mengabaikan kekosongannya
  tapi ketika lelah mula membanjiri
  kalbu itu mula mendakap erat dirinya
  iaitu sebuah kekosongan.]

tapi, apa akan terjadi ketika mana
jiwa itu mula menerima kekosongannya?
ketika itulah, jiwa yang dulu seperti batu
berubah menikmati keindahan 
walaupun pada masa yang sama
kekosongan tetap membunuhnya.

dan, ada pula yang ketika kekosongan
dipeluk erat oleh dirinya sendiri, 
darah mula mengalir keluar dari jiwanya
dan darah itu berubah menjadi pena
sebagai jarum yang mewarnai kanvas
yang akhirnya melahirkan seni terindah.
yang ironinya, seninya itu juga 
merupakan penawar sementara
dari racun kekosongan... dirinya.

dan, ada pula dari kekosongan kalbu
disentuh jiwanya oleh unsur rohani
maka mencari akan sanubarinya
perihal kenikmatan eksistensinya
dan ketika dirinya menyedari keindahan itu
tragedi hidupnya pula menyeksanya
yang akhirnya kenikmatan ruhani itu
membawa dirinya ke lembah neraka.
akhirnya, kekosongan kembali menyeksa.

Ulasan

Catatan Popular