-falsafah islam lah konon-

Hmmm, malasnya nak menaip, dan malasnya nak terangkan, malasnya nak mengisahkan semua ini. Tapi, aku nak beritahu sesuatu.

Ramai yang tidak tahu akan beza falsafah dan ideologi, hinggakan kerna benci akan ideologi, maka dibencinya terus falsafah, kerna dianggapnya ideologi itu adalah falsafah. Falsafah dan ideologi adalah dua ‘perkara’ yang berbeza. Ideologi adalah doktrin yang diikuti oleh masyarakat, tapi falsafah, adalah persoalan mengenai hikmah, ataupun adalah mengenai pencarian hikmah. Maksud kata falsafah itu adalah cinta kepada hikmah.

Dan, Islam juga adalah agama hikmah, kerna Islam mengajar penganutnya untuk berhikmah. Islam pun ada falsafahnya sendiri. Dalam ilmu Islam ada falsafahnya tersendiri. Bukan falsafah sebenarnya, tapi hikmah. Antara ilmu Islam adalah ilmu kalam dan juga ilmu metafizik sufi. Tapi malang sekali kerna ada pihak yang katakan bahawa ilmu kalam itu adalah bid’ah kerna berasal daripada falsafah yunani. Begitu juga, ada yang kata metafizik sufi itu bid’ah, maka ilmu tasawwuf diabaikan, dan kita ketandusan ilmu, untuk melawan kembali ilmu sains moden.

Tapi, aku tak nak terangkan usaha ahli saintis Islam, untuk melawan kembali sains moden menggunakan ilmu kalam, apa yang aku nak kata sekarang adalah mengenai falsafah atau hikmah. Dalam semua ilmu, ada falsafahnya masing-masing atau dalam setiap ilmu ada hikmahnya masing-masing. Tapi, di era ini, falsafah telah mati, falsafah telah dijauhi, hikmah dijauhi, akhirnya, manusia moden hanya penuh dengan maklumat tapi kekurangan hikmah.

PhD, atau penuhnya adalah Doctor of Philosophy. Dalam setiap ilmu, ‘pangkat’ yang tertinggi adalah PhD, kenapa? Kenapa ada perkataan ‘philosophy’?

Ilmu hikmah/falsafah, sepatutnya diterapkan di peringkat tertinggi, agar ahli sains hebat bisa dilahirkan, di mana mereka boleh mentafsir semula sains yang telah ditafsirkan oleh ilmuwan Barat yang tidak percaya akan Pencipta. Ilmu kalam dan metafizik sufi, sepatutnya tidak diabaikan, agar ahli sains Islam bisa kritik tafsiran sains moden. Didiklah dengan ilmu hikmah/falsafah, misalnya faham ilmu, faham ontologi, faham alam, faham psikologi, faham nilai, kerna ulama kita ada menerangkan semua itu, tinggal digali sahaja khazanah ilmu itu, agar bisa digunakan sebagai asas ilmu dalam menghasilkan tafsiran sains kita sendiri, ataupun bisa melahirkan sains kita sendiri, seperti mana ulama kita berjaya melahirkan metafizik atom sendiri, yang bersumberkan al-Quran. Cuba fikir, bagaimana umat Islam hendak kritik tafsiran sains moden? Cuba fikir, bagaimana orang Islam bisa menjadikan ilmu Islam sebagai sumber ilmu kepada ilmu fardhu kifayah?

Ada insan yang bisa kuasai ilmu sains, dan ada masa yang sama, dia kuasai ilmu agama, tapi, persoalannya sekarang , bagaimana dia bisa mengharmonikan ilmu agama itu dengan ilmu sains  moden yang dia kuasai? Apa ilmu yang perlu dia pelajari agar dia bisa membina jambatan antara dua ilmu itu?

Hikmah/falsafah itu ada di semua ilmu, kerna ilmu akan membawa kita ke arah manusia yang berhikmah dan beradab. Tapi, di era ini, hikmah/falsafah telah diasingkan, telah diabaikan, kerna mereka tidak minat akan hikmah/falsafah, sedangkan, hikmah/falsafah itu ada di semua ilmu, ada dalam ilmu kalam, ilmu tasawwuf/metafizik sufi, ilmu syariat. Aku hairan, ada yang kata tiada guna belajar falsafah, pada masa yang sama dia kata, dia meminati ilmu. Aku hairan juga, ada kata jangan belajar falsafah/hikmah, sedangkan dia mempelajari sains. Adakah dia tidak tahu, sains itu ada falsafahnya yang tersendiri. Andai kata, ahli sains yang belajar sains tidak tahu falsafah sains, bagaimana dia bisa mengkritik tafsiran ilmu sains? Adakah dia hanya diam dan terima sahaja? Sampai bila? Sampai generasi ke berapa kita perlu diam dan terima sahaja, tanpa tafsiran kita sendiri? Sampai bila, kita tidak bisa tafsir sains agar ia sesuai dengan pandangan alam Islam?  

Sains itu bukan sekadar menghasilkan material semata-mata, tapi sains juga perlu ditafsirkan, perlu ditakwilkan, agar ia, tidak lari daripada pandangan alam Islam. Tapi, bukan semua ahli sains perlu tafsir, hanya segelintir sahaja yang diberikan ilmu oleh Allah, tapi janganlah kerna kita tidak pandai tafsir, maka kita merendah-rendahkan ilmu untuk menafsirkan sains moden itu, jangan sampai kita memandang rendah akan ilmu hikmah/falsafah, kerna, islam juga ada ilmu hikmah, ada ilmu falsafahnya, kerna, bukankah dalam setiap ilmu itu ada falsafah yang tersendiri.

Ya, benar ada ulama yang mengharamkan ilmu falsafah, tapi, perlu diingat, ilmu  falsafah mana yang diharamkan, kerna, aku ada soalan, adakah ilmu matematik dan ilmu sains itu adalah di bawah bidang falsafah? Adakah ilmu demokrasi dan ilmu kapitalisme itu bawah bidang  falsafah atau bawah bidang lain? Dan, apa itu falsafah? Ada kata ilmu falsafah itu senang, kalau begitu, cuba buktikan  dengan mengalahkan ilmu Plato, Aristotle, atau ilmu Ibnu SIna. Dan, walaupun cara ahli falsafah dan cara ahli kalam menafsirkan alam ini berbeza, tapi, mereka menjawab persoalan falsafah yang sama, maka bisa dikatakan bahawa ilmu falsafah dan ilmu kalam ada hubungannya yang tertentu, jadi, andai kata ada yang kata ilmu falsafah itu senang, cuba jawab persoalan yang dijawab oleh ulama kalam kita. Begitu juga dengan ahli metafizik Islam, mereka menjawab persoalan yang sama dengan ahli falsafah, tapi dengan cara, sumber yang berbeza. Andai kata falsafah itu senang, cuba jawab persoalan yang dikeluarkan oleh ahli falsafah yang telah dijawab oleh ulama metafizik kita.

Dan, di era ini, macam mana kita nak menjawab persoalan yang dikeluarkan oleh ahli sains moden, menggunakan cara yang sama yang digunakan oleh ulama kalam kita, di mana ulama kalam kita menjawab persoalan yang dikeluarkan oleh falsafah, dan mengkritik kembali jawapan kepada soalan itu, yang juga dikeluarkan oleh ahli falsafah yang terpengaruh dengan falsafah Yunani?

Bolehkah kita mengkritik tafsiran ilmu sains moden, seperti mana ulama kalam kita mengkritik falsafah yang dikeluarkan oleh falsafah?

Bolehkah kita mengkritik falsafah sains moden, seperti mana ulama kalam kita mengkritik ilmu falsafah pada zaman mereka?

Aku dulu minat, tapi sekarang aku tak minat, kerna aku sedar diri. Tapi, aku tidak merendah-rendahkan ilmu hikmah, falsafah, ilmu kalam dan juga ilmu metafizik sufi, kerna, terutamanya ilmu kalam dan metafizik sufi, bisa digunakan untuk mengkritik tafsiran sains moden, mengkritik falsafah hasil sains, mengkritik konklusi sains yang terpengaruh dengan fahaman ateisme.

Aaaa, malasnya nak taip.... setiap ilmu itu ada falsafahnya yang tersendiri (hikmah) (buya Hamka)  - kalau aku tak silaplah.


Jangan percaya apa yang aku tulis, kerna aku ini bodoh.





Buat apa aku berbicara semua ini. Kenapa sampah berbicara emas? Dan adakah semua itu ada faedahnya kepada ekonomi negara? Adakah tafsiran sains ada faedah kepada ekonomi? Adakah tafsiran sains ada faedah kepada liberal demokrasi? Adakah tafsiran sains ada faedah kepada masyarakat? Cuba tanya soalan itu tapi soalan itu untuk metafizik ahli sufi dan metafizik atom ahli kalam. Adakah metafizik sufi dan metafizik atom kalam berguna untuk sistem kapitalisme, dalam liberal demokrasi, kepada masyarakat? Atau orang tertentu sahaja yang boleh tahu semua itu. Sampah macam aku perlu abaikan dan cari duit sahaja, dan join parti. Kerna itu sampah macam aku perlu buat. Eh jap, ikut parti bukan sampah punya kerja, untuk sampah macam aku bagus main game, tengok anime, drama dan movie. Hidup lebih indah berbanding mempersoalkan semua yang ada di atas.


















Ulasan

Catatan Popular