Misteri Sebuah Kekosongan

Apa sebenarnya unsur kekosongan ini?
Apakah sebabnya? Apa yang rasai ia?
Adakah kekosongan yang sentiasa
Menghantui segenap hidupku ini
Dirasai oleh rohku, jiwaku, kalbuku?
Atau, kerna gerakan zarah-zarah?
Di mana sebabnya kekosongan ini?
Adakah ia dari rohku? Kerosakan rohku?
Andai ia benar dirasai oleh rohku
Maka apa dia penawar mujarabnya?
Juga, adakah ada perihal saintifiknya?
Atau adakah ia dari biokimia badanku?
Kerna ketidakseimbangan hormonku?
Andai itu pula, bagaimana mungkin bisa
Pergerakan objektif zarah-zarah itu
Bisa hasilkan subjektif kekosongan ini?
Bagaimana seobjektif neurotransmitter
Bisa hasilkan emosi perasaan subjektif?
Mungkinkah, zarah-zarah itu ber-roh
Ada nama dan sifat ilahi dalamnya?
Atau, sebenarnya emosi dirasai oleh roh?
Maka, gerakan pelbagai neurotransmitter
Adalah disebabkan oleh ia- roh, spirit?
Ataukah mungkin, zarah-zarah itu
Adalah roh itu sendiri, bukan zat
Tapi manifestasi sifat roh itu sendiri?
Ah aku keliru, ia memeningkan kepalaku.

Kekosongan ini bagaikan aku terhumban
Masuk ke lubang hitam tergelap alam
Terasa ia memberi paradoks semesta
Informasi hilang punah selamanya.
Malah, teori kuantum dan relativiti juga
Tak mampu mendakap selamatkanku.
Akhirnya aku masuk ke dunia lain
Dunia yang di luar logika kosmos
Sesuatu yang bertentangan unsurnya
Bisa berganding semesra cahaya bulan;
Misalnya, yang besar bisa dipegang
Oleh yang kecil darinya, ia misterius
Ia adalah alam pelbagai kanvas seni.

Ah, aku lupa memberitahu dunia bahwa
"Andai kekosongan psikologi itu
Tidak mempu menyelamatkan kita
Dari sebuah kematian...
Sekurang-kuranya ia mampu
Memberi roh kita sebuah fakulti-
Sensitiviti untuk menyerap derita
Yang ada dalam zahir dan roh seni
Yang tersurat dan yang tersirat,
Agar kita bisa teruskan kehidupan."

Ulasan

Catatan Popular