mekarnya camellia 2

dalam matamu ku lihat rembulan sepi
cara jalanmu bernada rekah kalbumu
prosa katamu bayangan sunyi jiwamu
senyumanmu tanda perit hidupmu.

ikhlas wujudku kau cuba sanggah
walau setiap satah esensiku
mahu mendakapmu erat
menemanimu dalam dunia sepimu itu.

ku lihat fajar tidak pernah terbit
kau simpan ia dalam gelap sanubarimu
itu caramu sembunyikan deritamu
tanpa luahan kepada sesiapa pun.

sungguh jiwamu itu
adalah jiwa yang telah lama derita
kerna bila kau dipuji, dicintai, disukai
kamu terasa janggal mendengar itu.

jiwa yang sentiasa bersendirian
hidup dalam perit dan kesusahan
akan merasa asing
bila datang cinta mahu menyapa.

jiwa yang telah lama terpinggir
akan terasa kosong bila dipuji
malah, hanya terdiam bingung
tidak tahu mahu bercakap apa.

Ulasan

Catatan Popular