Tahap

Sampai satu tahap,  kau akan berhenti mengkritik kehidupan orang lain, kau akan berhenti mencari kesalahan orang lain. Sampai satu tahap, kau akan berhenti mengkritik semua benda yang berlaku di dunia ini, sampai satu tahap, kau akan berhenti tahu akan hal-hal dunia, sampai satu tahap, kau yang dulu mencari nama, tapi sekarang kau menghilang dari khalayak.

Sampai satu tahap, kau akan  belajar sikit demi sikit, agar manusia tidak memberi bekas ke atas hati kau, agar dunia tidak memberi bekas ke atas hati kau, sampai satu tahap kau abaikan apa majoriti kejar. Sampai satu tahap, kau akan menjadi diam. Diam bukan kerna ilmu bertambah, bukan kerna jahil menjadi ilmu, tapi, kau diam, kerna kau tahu, kau hanya layak diam, diam kerna kau sedari bahawa hanya diam sahaja penyelamat dalam menghadapi era yang penuh fitnah ini. Kau menyendiri atau “khalwah”, kerna kau ingin mencari “basirah”. Kau mengharapkan “basirah”, agar kau terpelihara daripada kerosakan dan kekeliruan.

Sampai satu tahap, kau bukan mencari nama, kau bukan mencari pujian, kau bukan mencari populariti. Dan, kau bukan sekadar mencari maklumat, bukan sekadar mencari ilmu, tapi kau mencari hikmah, hikmah dalam bermaklumat, hikmah dalam berilmu. Dan, kau diam bukan kerna kau berhikmah, tapi kau diam kerna kau tahu, kau tidak berhikmah, kau tahu kau kekurangan hikmah.

Sampai satu tahap, kau akan memilih diam, kau memilih untuk tidak mengkritik kehidupan manusia lain, kerna kau tahu, yang kau tidak layak mengkritik manusia lain. Sampai satu tahap, kerna kau tahu pelbagai “nama” penyakit mental (mental illness) dalam psikologi, akhirnya kau diam, kerna kau tidak tahu apa reaksi yang perlu kau tunjukkan, kepada mereka, yang ada masalah “psikologi”.

Sampai satu tahap, seorang anarki menjadi konservatif, seorang liberal menjadi konservatif, seorang yang dulu banyak tanya soalan, menjadi diam, tanpa soalan lagi, dan ikut, tapi bukan ikut majoriti, tapi, ikut apa sang guru suruh, kerna kau serahkan hatimu, kau serahkan jiwamu kepada sang guru itu, agar sang guru bisa membentukmu menjadi insan.

Tapi, adakah kau bakal berubah dan kembali kepada kau yang asal? Atau adakah kau bakal mencari sang guru itu? Adakah kau bakal ditelan dengan masalah psikologi kau? Adakah kau bakal hancur dengan kehancuran nafsumu? Adakah kau bakal mengabaikan semua itu?










Ulasan

Catatan Popular