Aku
Hati.... Pernah rasa kosong....
Biasanya manusia tidak suka akan rasa kosong, kerna rasa itu menyeksakan, menyedihkan, menyakitkan dan seumpamanya lagi. Dunia moden ini, manusia disibukkan dengan perlumbaan, pengumpulan hinggakan rasa kosong itu senang untuk dibuang, tapi persoalannya, adakah sesuatu itu yang diisikan ke dalam hati benar-benar yang hakiki kegembiraannya? Manusia moden disibukkan dengan hal-hal duniawi, kesibukan yang menyebabkan manusia melupai tujuan hidupnya di dunia ini. Hati yang kosong tidak difikirkan sebabnya datang bermaharajalela di dalam hati, rasa kosong itu hanya dibuang dan dilupakan dengan perkara-perkara kesibukan duniawi. Rasa kosong tidak dilayan, tidak direnungkan, tidak difikirkan dengan mendalam apa sebabnya, kerna kesibukan duniawi yang dikatakan boleh menambah kegembiraan di dalam hati, tapi sebenarnya apa yang bertambah? Ego? Ilusi pahala?
Memang benar melayan rasa kosong itu sangat berbahaya, kerna adakalanya kejahilan pula yang masuk ke dalam hati dan merangsang si perenung untuk membuat dosa. Tapi, adakah itu alasan untuk manusia tidak mahu merenung mengapa hatinya merasa kosong? Rasa kosong itu perlu difikirkan agar boleh mencari penyelesaiannya, bukannya penyelesaian yang sama yang akhirnya pengulangan rasa kosong itu berlalu di dalam hati. Bukan juga dengan mencari kepuasan dunia agar rasa kosong diharap boleh hilang selama-lamanya. Dan bukan juga dengan penipuan zaman moden yang menyibukkan manusia di siang hari, mencari sesuatu yang dikawal pasaran modal, hinggakan ulangan kehidupan itu berlaku pula kepada generasi selanjutnya.
Berdasarkan sejarah, ada dikalangan manusia yang meninggalkan dunia material dan mengurung dirinya daripada ego dunia, kerna mereka tahu, dunia ini tidak memberikan kegembiraan yang hakiki, tetapi biasanya mereka ini akan dipandang rendah oleh masyarakat. Mungkin kerna, masyarakat menganggap bahawa manusia terbaik adalah manusia yang seimbang dunia dan akhirat, tapi mungkin mereka lupa bahawa bukan semua manusia boleh melakukan perkara itu, sedangkan di dunia ini berapa ramai yang benar-benar mahu menyeimbangkan dunia dan akhirat?
Ada dikalangan manusia yang meninggalkan urusan duniawinya kerna hendak menjaga hatinya, tapi mereka tidak mewajibkan manusia lain mengikutinya, kerna dia anggap bahawa manusia lain boleh menjaga hatinya daripada keburukan dunia, mereka berfikiran baik bahawa manusia lain boleh seimbangkan dunia dan akhirat.....
Hati ini susah untuk dijaga daripada perkara-perkara yang merosakkan, apalagi di dunia moden ini, di dunia perlumbaan pengumpulan ego, pengumpulan populariti, hinggakan manusia tidak mahu memikirkan masalah hati kerna baginya semua itu sia-sia, kerna dia tidak mampu menjaga hatinya, sedangkan mereka yang hendak menjaganya hatinya juga adakalanya tidak mampu menjaga hatinya sendiri....
Dunia ini menyeksakan apabila dunia menjadi hakikat realitinya, sehinggakan melupakan alam metafizik, seperti yang diajar oleh fahaman asing yang berasal daripada dunia tamadun barat moden itu. Dunia ini dijadikan tujuan akhir, mungkin kerna dunia ini manusia gunakan untuk menambahkan kegembiraan ilusi dan penambahan ego, apalagi dunia kapitalis ini yang mengangkat mereka yang berharta sebagai idola masyarakatnya. Akhirnya, tujuan hidupnya di dunia ini adalah untuk penambahan harta semata-mata. Tidak salah mencari dan mengumpul harta, masalahnya adalah apabila semua usaha manusia itu semata-mata bertujuan materialistik dan harta.. dan lebih menyedihkan lagi apabila harta itu menjadi hirarki tertinggi menggantikan ilmu, dan lagi menyedihkan apabila ilmu itu juga dicari semata-mata kerna harta kapitalis.
Dunia moden ini menakutkan, apalagi tujuan hidup dah berubah, sehinggakan seseorang itu terpaksa mengikuti majoriti, meninggalkan idealisme nya, kerna idealismnya tidak sesuai di era ini. Berapa ramai yang meninggalkan impiannya kerna terpaksa mengikuti arus era moden yang pelik ini? Adakah aku juga bakal meninggalkan semua ini? Aku tak nak, kerna aku takut aku bakal menjadi anarki, sedangkan sekarang ini, pemikiran aku juga anarki, tetapi dikawal dengan buku-buku aku.
Apa akan terjadi seandainya aku mengabaikan buku-buku aku? Apa akan terjadi seandainya aku mengabaikan impian aku?
Untuk aku di masa depan.....
Ulasan
Catat Ulasan