-puisi-
18.01.2017
Menyelam ke lautan buku puisi ini menyeramkan
kerna ia bisa bebas terbang
berenang di lautan mindaku
tanpa rela dan kebenaranku
di kala diriku berada di alam separa sedar.
Ia berenang bebas
di lautan separa sedarku itu
yang akhirnya
hanya melelah-lemaskan jiwaku.
Aku hanya bisa melihat ia
terawang-awang di imaginariku
mulutku pula berkata-kata
tapi ku sendiri tidak bisa fahami
apa suaranya
tapi ku tahu apa melodinya.
Menyeramkan
Ia melelahkan sanubariku
Kepalaku pening berputar-putar
di alam separa sedar itu
yang ku lihat tulisan-tulisan puisi
berterbangan
di mana mulutku membacanya
tanpa ku sedari fahamnya
sepertinya hanya aku
yang ada di dalam aku sahaja
yang fahamnya.
Aku yang di luar aku pula
sekadar faham melodinya.
Aku lemas di lautan puisi
ku coba hulurkan tanganku
tapi hanya kegelapan sahaja
menghulurkan bayangnya
sebab itu aku suka bayang
kerna ia hitam walaupun lain bentuknya
lain simbolnya
lain makna tafsirannya
Aku adalah bayang
yang kurang wujudnya di empirikal.
Pernah suatu ketika dulu
di mana aku suka menyelam ke lautan sains
tulisan Michio Kaku seumpamanya
aku pernah bermimpi
di mana Michio Kaku mengajarku sains
Di kelas itu
Ada beberapa pelajar
kurang 20 orang
ku tak kenal sesiapa pun.
Dia mengajar kami
mengenai lohong hitam (black hole)
mengenai Worm Hole
Di mimpi itu
aku lihat ada dua lohong hitam
satu ku lihat ada kapal angkasa coba melaluinya
yang satu pula hanya sekadar lohong hitam.
Black hole yang kapal angkasa itu coba lalui
ku lihat ada air jatuh darinya
Dan di saat itu
Prof Michio Kaku menyoal kami
aku tidak tahu apa soalannya
aku lupa soalanya
tapi ku ingat apa jawapannya.
Ketika Prof menyoal kami
aku menjawab
'density(ketumpatan)'.
Dan, sampai sekarang aku tidak tahu
apa hubungan ketumpatan dengan lohong hitam.
Adakah lohong hitam itu ada ketumpatannya
Ataupun faham ketumpatan untuk lohong hitam
adalah tidak sama untuk faham ketumpatan
matter yang lain?
Aku tidak tahu
Tapi, aku asyik berfikir
kan bagus di kala aku tidur
ada seseorang mengajarku sains
di dalam mimpiku.
Di mana orang itu memegang bulan
di tangan kanannya
ketika dia memperkenalkan dirinya
kepadaku.
Ah! Ilusi belaka.
Guru di zahir tidak dimanfaatkan
nak pula guru di alam mimpi
kalau bukan bodoh apa namanya
bahalol?
Ulasan
Catat Ulasan