Psych Schizophrenia Bab 21

Bab 21

Psych Schizophrenia

Aku ada seorang kawan yang minat tentang sastera. Dia minat puisi,  sajak, syair dan ayat-ayat sastera. Dia juga minat falsafah, terutamanya falsafah sains dan ada kalanya dia berminat bercerita mengenai epistemologi. Nama dia Hisyam, dan seperti biasa aku lupa nama penuh dia. Dia ni minat pasal metafizik dan bidang tasawuf. Aku pun minat benda tu cumanya otak aku lambat pick up atau dalam bahasa lain bodoh kah kah kah. Aku ni kalau dibandingkan dengan Hisyam umpama 180 darjah, umpama utara dan selatan. Ilmu dan akhlak- dia tidak pisahkan. Kebanyakan manusia ni ada ilmu tapi kurang akhlak, sampailah ada ilmuwan katakan bahawa seseorang itu bukannya perlukan ilmu yang banyak, mereka perlukan adab yang banyak. Berapa ramai mereka yang pandai tapi kurang akhlak, eh jap, korang nilai pandai berdasarkan apa? Kah kah kah.

Hisyam satu universiti dengan aku dan dia ambil jurusan falsafah, sesuai dengan minat dia. Dia selalu bercakap mengenai falsafah whitehead, Iqbal, Neils Bohr, Ibnu Sina, semualah , malas aku nak taip. Dari dialah aku belajar mengenai pentingnya falsafah dalam fizik. Dia pernah katakan bahawa ada 
golongan ahli fizik yang tidak suka masukkan falsafah dalam fizik, sebab itulah kawan aku reka ayat “jangan falsafahkan fizik”. Aku rasa seronok apabila dia ceritakan mengenai falsafah dan kritikan Whitehead mengenai teori relativity Einstein. Dia juga katakan bahawa teori inovasi whitehead menunjukkan geometri yang sama untuk teori Einstein, cumanya Einstein lebih popular daripada whitehead.

Ramai yang kenal Einstein tetapi kurang kenal tentang Poincare.

Berbalik kepada Hisyam, dia ni hebat dalam sastera dan falsafah, bagi akulah, tapi kalau korang, aku tidak tahu korang nak nilai macam mana. Seandainya korang nilai kepandaian seseorang itu berdasarkan CGPA maknanya boleh dikatakan dia ni pandai. Dia dean’s list bro. Tapi dia hanya cakap bahawa semua itu bukannya menunjukkan dia hebat, kerana baginya ada benda yang CGPA tidak boleh ukur. Aku pun tak faham, tapi lantaklah. Mungkin dia cakap macam tu sebab nak jaga hati aku. CGPA aku bawah 3.0 bro. Bodohnya aku dalam bidang akademik. Kah kah kah.

Pernah sekali aku mendengar dia berucap. Dia ni bijak berkata-kata, dan dia selalu ajarkan aku bagaimana nak berucap, cumanya aku ni malas layan benda macam tu, sebab aku tak minat nak bagi ucapan depan manusia, kalau bagi ucapan dalam minda aku, itu aku minat, kah kah kah.
Walaupun akan dipuji seandainya bijak berkata-kata, tapi maaflah aku tidak minat. Itu tugas orang lain. Aku jadi observer, jadi observer yang useless. Kah kah kah. Kalau kau jadi observer time seseorang berucap, akan pelbagai ragam yang kau perhatikan. Ada orang jealous sebab kawan dia (musuh dalam hati) bijak berkata-kata, ada yang terpegun, ada yang mudah percaya, ada yang tengah memikirkan sesuatu, mungkin tengah susun ayat macam mana nak attack si pemberi ucapan, ada yang kaki dengki.. Korang boleh tengok melalui muka masing-masing, tapi biasanya mata ni tidak boleh dipercayai 100%.

Kebanyakan manusia ini mendengar bukan untuk memahami, tetapi untuk attack balik. Sebab itulah ramai golongan yang pelik muncul. Bagi dia, baca buku banyak, bermakna dia hebat, dialah bijak. Tapi ingat ada juga sesuatu yang buku tidak boleh ajar kepada si pembaca. Korang cari sendiri apa.
(Ada manusia yang gembira apabila orang menganggap dia pandai, tapi ada manusia yang menganggap pujian itu adalah suatu hinaan kerana makna pandai adalah berbeza daripada apa yang dia fahami dan apa yang difahami oleh si pemberi pujian. Banyakkan baca buku kerana makna pandai itu akan berubah dalam mindamu hinggakan kau akan tahu apa itu pandai dan apa itu bijak. Ramai manusia yang tidak tahu makna pandai dan makna bijak hinggakan dia bercakap dalam keadaan jahil. Lebih parah lagi apabila kejahilan itu tersebar dan kejahilan itu menjadi ikutan sesuatu masyarakat dan susah untuk membuangnya. Mungkin kerana ramai menganggap bahawa dia pandai sedangkan dia dalam golongan “jahil yang berilmu”. )

…..

Aku dah lari tajuk eh? Kah kah kah. Berbalik kepada Hisyam.

Hisyam pernah menulis benda ni.

Alam adalah salah satu buku yang terbaik dan seronok untuk dibaca. Alam yang indah ini banyak memberi pengajaran dan pembelajaran kepada manusia. Alam telah diperhatikan oleh bijak pandai agar teori boleh dikeluarkan untuk menerangkan bagaimana alam ini berfungsi. Teori tersebut kemudiannya diuji di bilik/ makmal eksperimen, tetapi seandainya tiada peralatan buatan manusia yang boleh digunakan untuk menjalankan eksperimen tersebut, maka alam ini boleh digunakan sebagai makmal. Makmal terbesar di dunia ini adalah alam.

Melalui alam, sesuatu teori mungkin boleh dijelaskan dan mungkin teori itu perlu ditambah baik agar teori tersebut boleh “hidup” dalam menerangkan kejadian sesuatu fenomena di alam ini.
Alam ini boleh dijadikan sebagai buku yang boleh memberi pengetahuan kepada manusia yang sentiasa memerhati alam berdasarkan hatinya ataupun melalui hatinya. Dalam buku Reynold a Nicholson yang bertajuk Jalaluddin Rumi Ajaran dan Pengalaman Sufi (terjemahan ke bahasa Indonesia) ada ditulis

“Mengapa,’ tanya orang lain,” anda tidak perhatikan

Tanda-tanda Tuhan Yang Maha Pengasih ini dipertunjukkan

Di sekelilingmu, yang Dia tawarkan untuk direnungkan?”

“Tanda-tanda itu,” sahutnya, “kulihat di dalam;

Di luar tak lain kecuali simbol dari Tanda-tanda.”

(Buku Masnawi Jilid 4)

..

Pemerhatian kepada alam vs pemerhatian kepada manusia

Pada pendapat penulis, manusia itu susah untuk diteorikan kerana sesebuah teori itu tidak constant untuk semua manusia.

Alam – ahli sains boleh membuktikan bahawa teori mereka sesuai untuk menerangkan kejadian fenomena alam. Berapa ramai di kalangan manusia yang membicarakan tentang manusia, dan berapa ramai manusia yang membincangkan tentang alam? Berapa ramai manusia yang memandang ke atas langit dan berfikir –ada apa di sana, dan berapa ramai manusia telah dibutakan  matanya oleh manusia lain sehingga lupakan bulan, bintang, galaksi?

Adakah alam ini tidak seronok sehinggakan kurang manusia berbicara mengenainya, berfikir mengenainya?

Hisyam
!2/10/2013










Ulasan

Catatan Popular