Bab 53 Psych Schizophrenia
3 tahun yang lalu
Kisah Hisyam
“Amad, ada ilmu yang
boleh membuatkan kita matang, dan ada juga ilmu yang kita dapat dengan syarat
kita mesti matang terlebih dahulu. Ada ilmu yang kita dapat disaat hati kita
hitam, dan ada juga ilmu yang kita dapat disaat hati, yang berada di badan kita
dijaga dan dipelihara daripada perkara-perkara dosa. Biasanya manusia tidak kisah
semua itu. Lihat sahaja berapa ramai yang bangga dengan kepandaiannya walaupun
hatinya penuh dengan maksiat.”
Dalam hati aku
“Ilmu yang datang di
saat hati dipelihara daripada perkara maksiat? Ilmu apa? “
Dia sambung lagi
“Amad alam, ini
tengah menangis. Lihat sahaja manusia, mereka tidak lagi kisah akan alam.
Manusia lebih mengutamakan material. Mereka hanya melihat alam ini sekadar
bahan untuk ekonomi, sekadar bahan untuk perindustrian. Alam menangis. Hidupan
liar menangis. Orang seperti kau, apa yang mereka buat? Fizik! Aku pernah
mendengar bahawa belajar fizik tujuannya adalah memahami alam, untuk faham
alam. Apa maksud semua itu? Mereka silap. Belajar fizik bukan untuk memahami
alam, tetapi sekadar mengetahui bagaimana fenomena alam terjadi.
Seandainya fizik itu
dipelajari kerana untuk memahami alam, jadi kenapa alam ini tengah menangis,
dan hanya sekelompok manusia sahaja yang mendengari tangisan itu? Dengarkah kau
suara alam yang tengah menangis? Suara sayu memohon manusia agar tidak khianat
dan lupa akan dirinya.
Apakah dayaku. Suara
itu tidak lagi didengari, kerana alasannya adalah suara itu tidak boleh
dimatematikkan. Adakah itu maknanya suara?
Suara alam hilang
dibawa angin. Angin yang bersepai-sepoi bertiup yang dihasilkan oleh aktiviti
manusia moden. Aku harap suatu hari nanti, ada teknologi yang dapat memahami
alam, dan manusia menghormatinya. Adakah kau faham? Aku tahu kau tidak faham,
sebab kau juga telah dipengaruhi dengan pemikiran saintifik, pemikiran yang
dianggap paling atas dalam pemikiran manusia. Khayalan manusia moden.”
Dia pernah menulis
sebuah karya
Alam
Lelaki itu,
lelaki yang hilang sesuatu dari hatinya,
kehilangan yang mungkin menggembirakannya,
walaupun dunia moden menolaknya atau melupakannya.
Hatinya telah diajar,
oleh si ahli puisi, si ahli syair, si ahli cerita,
agar alam dia hargai,
alam dia harus fahami,
dengan masuk sendiri ke alam itu,
di mana alam itu terletak sendiri di dalam hatinya.
Alam itu bersendirian tanpa disedari manusia,
seperti mana lelaki itu bersendirian,
hinggalah lelaki itu diajar untuk memahami bahasa alam.
Lelaki itu memandang ke arah langit,
langit yang indah ditemani dengan awan yang bergerak,
dilihat sang burung berterbangan,
liriknya sama dengan suara alam,
suaranya menusuk sanubari,
merdunya mereka berbicara,
alam berkata-kata dengan burung itu,
alam bertasbih, burung juga bertasbih,
memuji Sang Pencipta.
Wahai alam, wahai burung,
adakah dikau gembira di saat ini,
disaat manusia mula melupakanmu,
disaat manusia lihat dikau sebagai sumber duit mereka?
….
Burung itu terbang kearah lelaki itu,
dikala burung itu hinggap di tangannya,
burung itu bersiul,
burung itu seperti memandang matanya,
pandangan belas kasihan,
atau mungkin juga pandangan kesedihan.
Lelaki itu mula berkata-kata agar suara hatinya didengari
oleh burung itu,
dan juga boleh didengari oleh alam.
"Wahai burung,
aku meminta maaf seandainya manusia menyakitimu,
seandainya manusia memusnahkan tempat tinggalmu.
Aku minta maaf,
manusia mula melupakanmu,
manusia lebih mencintai material moden berbanding
keindahanmu,
berbanding keindahan tempat tinggalmu,
tempat tinggal manusia.
Aku minta maaf.
…….
Wahai alam,
dengarkah dikau?
Aku meminta maaf juga kerana sampah menyeliputimu,
aku minta maaf kerana tidak dapat berbuat apa-apa,
aku minta maaf kerana aku juga membuang sampah itu
kearahmu.
…
Wahai alam,
sudikah dikau memaafkan kami,
disaat dikau dihancurkan hanya kerana sebuah
perindustrian,
hanya kerana sebuah benda yang digelar oleh manusia
sebagai duit?
Maafkan kami kerana melupakanmu,
dan hanya mengingatimu,
disaat kami tertekan dengan dunia moden ini.
Aku minta maaf sekali lagi,
kerana manusia melupakanmu,
dan membuatmu merana,
hinggakan badanmu dirobek,
kawanmu ditebang,
temanmu dibunuh,
hanya kerana keegoan manusia untuk menjadi hebat.
Hebat telah diukur melalui duit,
hinggakan makna hebat itu disempitkan,
dan ianya hilang makna untuk kembali melihatmu.
Aku minta maaf, aku minta maaf, aku minta maaf..........
……
Wahai burung,
terbanglah dikau,
jauh dari manusia,
kerana aku takut,
kami akan memusnahkanmu.
Wahai alam,
apakah yang harus aku lakukan,
untuk membalas budimu,
kerana menemaniku disaat aku bersendirian?
Wahai alam,
aku berterima kasih kerana memahamiku,
disaat manusia lain sibuk dengan perlumbaan mereka.
….
Wahai burung,
bolehkan dikau mengajarku untuk berbicara dengan alam,
agar hati ini tenang,
tidak diisi kekosongan.
Wahai alam,
mahukah dikau berbicara denganku,
tentang kebesaran Ilahi,
agar hati ini bertambah gembira,
dengan ucapanmu....
…..
Wahai alam,
sekali lagi aku minta maaf,
kerana diri ini tidak berkuasa,
menegur manusia,
tidak berkuasa untuk menjadi khalifah yang terbaik,
untuk meyelamatkanmu dari mereka.
Wahai alam,
bolehkah dikau menegurku,
seandainya suatu hari nanti,
aku mula melupakanmu akibat nafsu ini kearah dunia moden.
….
Aku takut,
aku bakal mengkhianatimu,
semata-mata egoku untuk menjadi hebat,
semata-mata untuk mendapatkan pujian manusia lain.
Aku takut,
nafsuku mengawalku,
hinggakan perasaan saat ini aku lupakan,
perasaan yang dirasai kerana memikirkan anugerah Ilahi
keatas dirimu.”
...
Lelaki itu hilang,
tidak diketahui hilang kemana,
tetapi hatinya tetap utuh,
cintanya tetap utuh,
malah berkembang dengan keyakinan,
agar dia boleh merasai perasaan itu,
dikala perasaan itu semakin pudar dari hatinya,
dek kerana realiti moden,
yang menyuruhnya sibuk dengan realiti ciptaan manusia
lain.
Adakah lelaki itu gembira,
atau dia hanya berpura-pura gembira?
…..
Ulasan
Catat Ulasan